Nur Amalina, pelajar cemerlang yang mendapat 17A1 suatu ketika dahulu, pernah mengakui bahawa beliau gemar menonton televisyen, termasuk ketika belajar. Beliau mampu mengulang kaji pelajaran di hadapan televisyen dan berhibur sambil membaca buku.Mungkin tidak banyak orang yang mampu melakukan perkara yang sama. Bagi sesetengah pelajar, menonton televisyen mengganggu tumpuan. Namun begitu, ambillah masa untuk berhibur dan menonton televisyen. Pakar motivasi juga menyarankan supaya pelajar menguntukkan sejam sehingga dua jam sehari menonton televisyen. Pemilihan program televisyen juga perlu diberikan perhatian. Tontonlah rancangan yang bermanfaat. Nur Amalina, contohnya, menggemari rancangan dokumentari, seperti National Geographic, The Apprentice dan Explorace. Banyak ilmu yang dapat dipelajari daripada rancangan televisyen tersebut. Pengetahuan tambahan yang diperoleh dapat membantu pemahaman di kelas. Janganlah hanya menonton rancangan hiburan, nyanyian dan kartun tanpafaedah sahaja, kecuali jika anda mahu menggunakan rancangan hiburan tersebut untuk memahirkan pemahamaan bahasa Inggeris atau apresiasi seni.
BELAJAR DARIPADA MUZIK
Mendengar muzik ialah satu daripada kegemaran pelajar pada waktu lapang. Pelajar yang cemerlang bukan hanya mendengar muzik untuk berhibur, tetapi muzik juga dapat membantunya mempelajari bahasa dan sastera, terutama jika bait liriknya betul-betul difahami. Dengan mendengar serta menghafal lagu Inggeris, anda dapat memahirkan diri dalam bahasa Inggeris dan mempelajari sebutan perkataan dengan betul. Mendengar muzik juga mampu meransang kreativiti dan menenangkan fikiran, selain dapat membantu anda mengulang kaji pelajaran. Muzik juga dapat menghilangkan rasa mengantuk setelah penat mengulang kaji pelajaran. Kajian turut mendapati bahawa alunan muzik dapat membuatkan otak kanan berfungsi lebih aktif bagi mengimbangi otak kiri yang letih menerima fakta dan maklumat ketika menelaah pelajaran.
BERMAIN UNTUK MENGHIBUR
Anda juga dapat meluangkan masa dengan bermain permainan komputer atau permainan papan, seperti dam, sahibba dan Monopoli. di internet, ada banyak permainan komputer berbentuk ilmiah yang dapat anda cuba sambil mengasah pembelajaran. Bermain permainan komputer dapat meningkatkan ketangkasan hubungan saraf antara tangan dengan otak serta kecerdasan minda. Catur juga dapat meransang pemikiran. pilihlah permainan yang anda gemari dan ambil sedikit masa untuk berhibur. Ajaklah teman atau adik-beradik dan aturkan perlawanan bersama-sama mereka. Setelah bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran, otak anda seolah-olah menjadi beku kerana terlalu banyak maklumat. Bermain bersama-sama rakan barangkali dapat membantu mencairkannya semula.
SELALU BERIADAH
Selain permainan komputer atau permainan papan, anda juga harus menguntukkan sedikit masa dengan permainan sukan untuk mencergaskan tubuh dan fizikal. Ajaklah teman bersenam, bermain bola, bermain futsal, berenang, berjoging atau bermain sukan lain yang digemari. Keluarkan sedikit peluh kerana terlalu lama menghadap buku dan tidak baik untuk tubuh. Walaubaagaimana pun, janganlah menguntukkan terlalu banyak masa untuk beriadah. usah terlalu galak bersukan hingga larut petang kerana akan memenatkan tubuh dan mengganggu tumpuan ketika anda mengulang kaji pada malamnya. Riadah yang memadai dapat mebcergaskan otak dan fizikal, tetapi jika melebihi had, anda akan berasa lesu dan mengantuk.
HIBURAN DUNIA LUAR
Dunia di luar sana luas dan penuh dengan ilmu. pelajar harus sedar bahawa di mana-mana sahaja, anda dapat berhibur dan mempelajari sesuatu. Anda bolehlah bercuti melihat tempat orang, melawat muzium atau arkib. Nur Amalina gemar berjalan-jalan, membeli-belah dan menonton wayang. menurutnya tidak salah menonton wayang, tetapi harus mengambil manfaat daripadanya. Anggaplah hiburan sebagai hadiah pengiktirafan setelah anda penat menelaah pelajaran. sebenarnya, kesemua petua tentang berhibur adalah untuk mereka yang bertungkus-lumus belajar. Ambillah masa untuk berhibur membersihkan otak yang tepu dengan pelajaran. Jika anda tidak belajar bersungguh-sungguh, usahlah mahu berhibur. Seperti kata Nur Amalina lagi, jikalau belajar pun main-main, tidak layak untuk seseorang itu berhibur.
credited to dewan siswa
No comments:
Post a Comment