Tuesday, 20 September 2011

Teknik Bertanya

MENGHILANGKAN RASA MALU

Rasa malu mungkin wujud disebabkan takut diaibkan oleh rakan sekelas. Walaubagaimanapun, sedarkah anda ketika mempelajari matapelajaran yang rumit, selalunya bukan anda seorang sahaja yang tidak faham? Banyak rakan sekelas lain juga bingung untuk memahaminya. Mereka akan mengucapkan terima kasih kepada anda kerana bertanya soalan. Bagi menghilangkan rasa malu anda boleh merapatkan hubungan dengan guru dan rakan sekelas. Anggaplah mereka seperti adik-beradik sendiri. Sedarlah, tidak ada soalan yang salah, usah malu tanyakan sahaja kepada guru.

MENDENGAR DENGAN TELITI

Banyak pelajar menyoal cikgu semata-mata kerana mahu bertanya, tetapi tidak mahu mendengar dengan teliti jawapan yang diberi oleh guru. Apabila guru memberikan penerangan, pasangkan telinga dengan peka. Catatkan penerangan guru di dalam buku nota untuk menguatkan kefahaman. Selepas guru menjawab soalan anda, mungkin masih ada perkara yang anda belum faham. Oleh hal itu, sediakan soalan balas. Pastikan soalan anda terjawab. 

MEMBUAT PERSEDIAAN

Memang tiada soalan yang salah atau bodoh, tetapi kadangkala ada soalan yang memalukan jika anda menanyakannya di bilik darjah tanpa persediaan. Ketika guru mengajar, Dengarlah dengan peka. Jangan menyoal perkara yang telah dijawab oleh guru. Sebelum menghadiri kelas, baca dahulu tentang topik pembelajaran yang akan diterangkan oleh cikgu. Buat soalan lebih awal dan tuliskan di dalam buku nota. Jika anda tidak mengulangkaji dan membaca terlebih dahulu, bagaimanakah anda hendak tahu topik yang mana anda sudah fahami dengan betul, topik yang mana pula masih rumit dan sukar difahami? Jangan menyoal dengan melulu tanpa persediaan.


MENYOAL DENGAN SANTUN

Anda harus menyoal dengan hormat dan bersopan santun. Usah menyampuk pengajaran guru apabila anda tidak faham. Mungkin guru belum habis memberikan penerangan. Usahlah menjadi kurang sabar dan terus menyoal sebelum guru melengkapkan pelajarannya. Angkat tangan dan hanya bercakap apabila guru memberikan peluang. Gunakan bahasa yang mudah dan hormat, serta kata ganti nama yang sesuai. Apabila menyoal, anda sebenarnya meminta belasan guru untuk membantu annda memahami. Oleh hal itu, bertanyalah dengan rendah diri. Setelah guru menjawab pertanyaan anda, jangan lupa mengucapkan terima kasih. 

MENYOAL DENGAN RINGKAS

Ketika bertanya kepada guru, pastikan soalan ringkas agar cikgu anda mudah memahami perkara yang anda tidak faham. Usah menyoal dengan meleret dan terkeluar daripada topik yang sebenar. Hanya bertanya satu soalan dalam satu masa. Jangan menyoal guru dengan bertubi-tubi.


No comments:

Post a Comment